Karya : Allahyarham Datuk Usman Awang ( Sasterawan Negara )
TUN Seri Lanang
Bendahara Tun Muhammad Johor Lama
Bening pagi berkaca menuliskan namamu
Seribu permata menatahi kitab Sejarah Melayu
Mencanai akal mencanai makna ilmu
Ketajaman pena pujangga Melayu.
Maka diapungkanlah segala kisah
Segala adat raja-raja seisi istana
Bermula dari Demang Lebar Daun Bukit Si Guntang
Turun ke Palembang, - dan dari Palembang
Berbahtera ke Bentan bertakhta di Singapura,
Alah Singapura oleh Jawa
Diperbuatkan pula kerajaan Melaka,
Alah Melaka oleh Benggali-Putih Peringgi
Berundur balik merajai Bentan ....
Maka. dari Bentan itulah datang ke JOHOR,
Tegaklah kedaulatan Melayu ternama
JOHOR-RIAU-LINGGA.
Tun Seri Lanang
Himpunkan sepuluh himpunkan dua puluh
Bariskan seratus penulis Johor
Bahkan yang di Semenanjung ini,
Tiada terbandingkan segala bijaksana
Tajam keris raja
Tajam lagi pena pujangga.
Dari Seribu. permata ceritera Sejarah Melayu
Hamba pinjam sebutir kilau kiasan
Kisah meminang Puteri Gunung Ledang.
Maka berpantunlah bunga tanjung biru, katanya
Dang Nila memangku puan
Berembang buah pedada
Adakah gila bagimu tuan
Burung terbang dipipiskan lada.
Kata yang empunya ceritera
Tuan puteri Gunung Ledang menuntut hantaran
Begini bunyinya:
Jikalau raja melaka hendakkan aku
Perbuatkanlah aku jambatan emas satu .
Jambatan perak satu
Dari Melaka datang ke Gunung Ledang ini.
Akan peminangannya, hati nyamuk tujuh dulang
Hati kuman tujuh dulang, air mata setempayan
Air pinang muda setempayan,
Darah anak raja yang bernama Raja Ahmad itu semangkuk.
Begitulah.ceriteranya.
Hamba kagum akan kebesaran sultan
Menyanggupi semua permintaan, kecuali
Yang lebih mengagumkan hamba lagi.
Menolak permintaan semangkuk darah puteranya sendiri.
Tun Seri Lanang,
Bendahara Johor bijaksana
Tuan hamba mengajar hamba makna kuasa raja
menjulangkan hati bermaharajalela
Hari ini hamba mendengar sebuah lagu
Dinyanyikan oleh para biduan, pantunnya:
Sayang laksamana mati dibunuh
Mati ditikam tombak menteri
Tuan laksana minyak yang penuh
Ditatang tidak tumpah lagi.
Anak Johor,
Terjawabkah oleh kita kiasan
Hutang-piutang apakah yang ditanyakan
Oleh lekuk keris laksamana Bentan
Bermula dengan seulas nangka
Berakhir dengan sembah derhaka?
Tajam keris raja
Tajam lagi pena pujangga.
Selasa, 6 Januari 2009
BERKAYUH RINDU DI SELAT TEBRAU
Ahad, 30 November 2008
PESANAN PUTERI GUNUNG LEDANG KEPADA SULTAN MAHMUD
Karya : Zurinah Hassan
Tun Mamat
sampaikan pesanku kepada Sultan,
pinta dipenuhi syarat-syarat ini
jika aku ingin diperisterikan.
Perbuatkan jambatan emas jambatan perak
bawakan tujuh dulang had kuman, had nyamuk,
air mata dan air pinang muda setempayan
darah raja dan anak raja semangkuk.
Sebenarnya
aku telah pun menduga
dia akan sanggup merentang jambatan derita
dia merelai negeri menjadi dulang sengsara
membiarkan rakyat memikul tempayan air mata
kehidupan terbakar dalam api berahi
selagi kepanasan tidak terpercik ke tubuhnya.
Tun Mamat,
Sebenarnya aku memberi syarat ini
kerana aku tidak sudi menjadi permaisuri Sultan
dan hidup bercerminkan kekeruhan
aku bukan Tun Fatimah
yang pandai memaafkan kezaliman
aku bukan Tun Kudu
yang tahu merelakan paksaan
cukuplah dengan Puteri Hang Li Po
yang terbungkus menjadi persembahan
dan tersungkurnya Tun Teja
ketika menangkap bayang-bayang cinta.
Biarlah Gunung Ledang berdiri mengingatkan
ada bunga yang tidak dapat digubah
sesedap titah
seorang perempuan pun ada kalanya
berhak memilih kebebasan
scorang Sultan pun ada kalanya
harus tunduk kepada kekalahan.
Sabtu, 29 November 2008
CERETERA KE-26
Oleh : Prof.Dr.Muhamad Hj Salleh
“ Dan segala anak Melayu, bagaimana besar dosanya, jangan kamu bunuh, melainkan dosanya derhaka ; kerana segala Melayu itu tanahmu ..... “
Melayu itu tanahmu,
Bangsa dan negerimu,
Kau besar dan raja padanya.
Laut dan pantai di Semenanjung ini,
Pulau-pulau Andalas dan Riau,
Kedah dan Pahang, Kelang dan Muar
Ialah air dan bumi bangsamu
Hormatilah orang berilmu,
Orang yang setia pada bangsamu
Betapa pun tidak setujunya.
Melayu akan besar dengan kebebasan,
Dengan percaya bahawa mereka bebas dan besar,
Di pelabuhan kita seluruh dunia bertemu,
Bahasa kita dipilih, adat kita diteliti.
OMBAKAN HATI
(Buat sahabat-sahabatku dalam GPMS)
Oleh : Sutan Shahril Lembang.
20 April 1966
Kawan,
Suaraku ini adalah ombakan hati
Yang kental dibalut kesedaran
Yang setiap hari kusetia dengan sumpah pahlawan
Tentang masa masa depan
Yang punya seribu kemungkinan.
Engkau dan aku sama-sama tahu
Sama-sama sedar bahawa kita masih menggelapar
Meniti titian licin
Bergantung di dahan rapuh
Menghadapi seribu kemungkinan
Apabila orang membawa berita
Tentang ayam di kepuk mati kebulur
Tentang itik di air mati dahaga
Berita itu kawan
Adalah gendang perang yang melarang kita mundur
Rempuh..rempuhlah terus kejahilan
Kemunduran kikislah habis.
Hari ini kawan kita susunkemaskan barisan
Kita yakinkan almarhum-almarhum tercinta
(Aminuddin Baki dan Zulkifli Muhammad)
Bahawa jejak mereka kita teruskan
dengan hati pahlawan seperti Hang Jebat
hari ini kawan
pintalah Tuhan lebarkan terbukanya pintu hati kita
biar terjirus air keramat ke dalamnya
biar berhembus udara hidayah ke lubuknya
agar hari ini bagi kami oh Tuhan
hari yang penuh dengan rahmat dan ampunan
hari yang penuh dengan petunjuk dan bimbingan
untuk kelanjutan semangat mukadimah
pertubuhan yang kami junjung
GABUNGAN PELAJAR-PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG.
PAHLAWAN ENGKAU TELAH PERGI

(Mengenang Allahyarham Aminuddin Baki, arkitek pejuang pendidikan Melayu)
Petang itu, petang pertama bulan puasa
Kupaksa diriku untuk tidak mempercayainya
Dan kepalaku berpinar demi mendengar khabar
Kata adik-adikku: Aminuddin Baki telah meninggal.
(Satu jam sebelum khabar sedih kedengar, entah mengapa aku
menulis kembali sebuah sajak mengenai dia dan Zulkifli,
dua pahlawan ibarat hati dan nadi yang mendenyutkan ilham
untuk bangsaku mengenal diri)
Oh! Kenapa engkau, wahai panglima
Kenapa engkau yang harus pergi dahulu
Perang belum selesai, jalan sejarah masih panjang
Dan masa depan kami kemungkinannya penuh bercabang
Kitab yang kami baca belum tamat, belum tamat
Dan engkau sebagai pelita utama telah padam, telah padam
Kami kehilangan Aminuddin, kehilangan
Belum seminggu lalu, kita bersua di gedung parlimen
Seperti biasa engkau tersenyum seperti menangis
Sedang mataku merangkul tubuhmu penuh sayang
Tapi kini, Aminuddin
Kudengar khabar telah meninggal
Oh! Luluhnya hati melepaskan engkau pergi
Kupaksa
Kupaksa diriku untuk tidak mempercayainya
Tentang kemangkatan seorang panglima
Umpamanya gugurnya berpuluh, beratus jeneral
Kupaksa
Kupaksa diriku untuk tidak mempercayainya
Tetapi kekasih, engkau benar-benar telah tiada
Pada hari engkau dimakamkan, hari kedua bulan puasa
Kejengguk wajahmu kali penghabisan
Kau terbujur kaku berwajah tenang
Isterimu di samping memegang surah Yassin
Serta putera-puteramu begitu muda menjadi yatim
Dan perempuan keliling bertangisan
Oh! Luluhnya hati
Luluhnya harti melepaskan engkau pergi kekasih
Di pusaramu, dukaku makin mendalam
Dengan siapakah, oh pahlawan
Engkau akan disamakan sekarang
’Ayah dah tak ada, nak’, isterimu menunjuk pusaramu
putera bongsumu tidak mengerti erti kematian
tetapi mengocak sedu bersama ibunya di pinggir kuburan
’Ayah dah tak ada mak ,’ dia mengisak dalam pelukan
aku tahu dan tiap orang tahu
kerana cintakan kami hidupmu resah tersula
engkau tahu dan engkaulah yang paling tahu
bahawa amatlah malang itik di air mati dahaga
Aku tahu dan tiap orang tahu
Kerana sayangkan kami, resah hidupmu bagai tersalai
Engkau tahu dan engkaulah yang paling tahu
Malang bangsamu, menang sorak kampung tergadai
Engkau telah tiada, oh pahlawan
Engkau telah tiada, oh kekasih
Engkau telah tiada.....
Oleh- Firdaus Abdullah
(Dewan Masyarakat, Januari 1966)
Jumaat, 28 November 2008
MELAYU KATA MELAYU
Nukilan Asal : Brother Pyanhabib.
Ma'afkan aku! kalau aku sering saja berlaku songsang,
terutama di perayaan tahunan seperti hari ini..................
Apabila orang telah sedia duduk,
aku bangun berdiri
Apabila orang bertepuk,
aku diam
Apabila orang ghairah berbincang,
aku tidur
Apabila orang membaca zikir,
aku takut mati
Ma'afkan aku jika aku sering saja berlaku songsang
terutama di perayaan tahunan seperti hari ini
Orang lain sudah merdeka,
aku belum
Aku bahagia kerana aku masih Melayu
walaupun
Melayu kata "Melayu bodoh!" Melayu kata "Melayu kecoh!"
biarkan........., biarkan..................
Melayu kata "Melayu malas!" Melayu kata "Melayu mulas!"
biarkan........., biarkan..................
Melayu kata "Melayu kecut!" Melayu kata "Melayu takut!"
biarkan........., biarkan..................
Melayu kata "Melayu belut!" Melayu kata "Melayu belot!"
biarkan........., biarkan..................
Melayu kata "Melayu kasap!" Melayu kata "Melayu lesap!"
biarkan........., biarkan..................
Melayu kata "Melayu tongong!" Melayu kata "Melayu bingung!"
biarkan........., biarkan..................
Melayu kata "Melayu serong!" Melayu kata "Melayu jerung!"
biarkan........., biarkan..................
Melayu kata "Melayu sombong!" Melayu kata "Melayu murung!"
biarkan........., biarkan..................
Maka Luncai pun terjun dengan labu-labunya.




